Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Sultan Pahang Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah menitahkan kepada umat Islam untuk tidak sesekali berdiam diri di saat agama sendiri dihina walaupun orang Islam diajar mengikut resmi padi, semakin berisi semakin menunduk.
Justeru, baginda mengingatkan kepada umat Islam supaya dapat bangkit bersama-sama mempertahankan serta melindungi kesucian agama Islam agar tidak sewenang-wenangnya diperlekehkan.
“Saya amat berdukacita mutakhir ini masih ada suara-suara sumbang yang meremehkan akan kesucian agama, mencabar kemuliaan Islam, seolah-olah tiada batasan dalam berbicara dan bertindak.
“Adakah ini yang dikatakan sebagai sebuah negara merdeka? Atau hanya merdeka pada angka, bukan minda rakyatnya? Fikirkan bersama,” titah Baginda dalam kenyataan pada Selasa malam.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat memasyhurkan nama Masjid Baharu Kampung Durian Hijau dengan nama Masjid Abdul Rahman Ibn Auf di Kampung Durian Hijau, Jerantut, Pahang.
Titah baginda lagi, jangan dek kerana adanya kelembutan dan kesopanan tersebut ada pihak yang berani memperlekehkan agama Islam sesuka hati.
“Islam tidak pernah mengajar kita tunduk kepada penghinaan dan penindasan,
“Sebagai ketua dan pelindung agama Islam di negeri ini saya menyeru agar setiap muslim memainkan peranan, mempertahankan kesucian agama ini dengan hikmah dan kebijaksanaan,” tegas Baginda.
Baginda turut menegaskan, sebagai seorang yang beragama Islam seharusnya bersama-sama bertanggungjawab mempertahankan agama yang suci ini.

“Dalam kebijaksanaan dan keadilan pemerintahan, agama-agama lain diberi ruang untuk diamalkan dengan aman dan damai.
“Selagi mana ia tidak menggugat ketenteraman awam dan keharmonian negeri, selagi itulah hak setiap penganut terpelihara.
“Ini bukan sekadar lafaz dalam dokumen perundangan, Islam bukan sekadar agama tetapi suatu amanah yang mesti kita junjung, suatu warisan suci yang mesti kita pertahankan. Tidak kira siapa kita, apa warna kulit kita, dari mana asal usul kita, apa pun pangkat dan kedudukan kita.
“Selagi mana kita bernama Muslim kita bertangungjawab mempertahankan agama suci ini,” titah Baginda.
Baginda kemudian mengingatkan bahawa dalam sebuah negeri yang berbilang bangsa dan agama, tiada yang lebih utama selain nilai hormat-menghormati serta kesedaran untuk menjaga sensitiviti agama masing-masing.
Baca juga: