PETALING JAYA: Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mengecam tindakan UMNO Barisan Nasional Negeri Sembilan yang disifatkan sebagai pengkhianatan terhadap mandat rakyat serta kestabilan politik negara.
Dalam kenyataan media, Wanita PKR menegaskan rasa kesal terhadap langkah UMNO–BN yang dianggap mengorbankan kestabilan demi percaturan kuasa politik sempit khususnya ketika rakyat sedang berdepan tekanan kos sara hidup dan cabaran ekonomi.
“Ketika negara sedang berdepan cabaran ekonomi dan tekanan kos sara hidup, tindakan ini jelas membuktikan keutamaan sempit pihak terbabit yang sanggup mengorbankan kestabilan demi percaturan kuasa politik,” tegas kenyataan itu.
Wanita PKR berkata, tindakan tersebut bukan sahaja pengkhianatan terhadap Kerajaan Perpaduan tetapi juga terhadap rakyat yang amat memerlukan kestabilan politik untuk menghadapi tekanan hidup.
Kenyataan itu turut menegaskan pendirian Wanita PKR untuk berdiri teguh bersama Pakatan Harapan dalam menolak sebarang bentuk pengkhianatan politik demi melindungi kepentingan serta kesejahteraan rakyat.
Selain itu, Wanita PKR menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi dalam mempertahankan peranan serta fungsi institusi Raja-Raja Melayu sebagai pelindung kepada kedaulatan Perlembagaan.








