UMNO, BN selesa dalam Kerajaan Perpaduan demi kepentingan rakyat – Zahid

KUALA LUMPUR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyifatkan kerjasama dalam kerajaan perpaduan berjalan dengan baik kerana semua parti berkongsi matlamat sama dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keselesaan yang terjalin antara parti komponen bukan bermaksud mana-mana pihak leka, sebaliknya terbina hasil persefahaman kukuh untuk memastikan rakyat tidak terus dibelenggu polemik politik berpanjangan.

“Rakyat tidak seharusnya dipersulitkan dengan polemik berterusan serta perbezaan pandangan yang sentiasa berlaku,” katanya dalam temu bual khas sempena ulang tahun ke-80 UMNO baru-baru ini.

Presiden UMNO itu berkata, demi kepentingan rakyat, semua parti dalam kerajaan perpaduan memilih untuk mengetepikan perbezaan politik bagi memastikan agenda yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dapat dilaksanakan secara berkesan.

Menurut beliau, kerajaan kini memberi tumpuan kepada perkara yang menjadi persamaan dalam manifesto parti-parti yang bertanding pada PRU15, khususnya berkaitan kos sara hidup, pendidikan dan pengangguran.

“Dalam isu pendidikan dan pengangguran misalnya, tidak timbul pertikaian besar antara parti-parti yang bertanding,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Beliau turut menjelaskan bahawa sebanyak 47 peratus kandungan manifesto parti-parti yang membentuk kerajaan perpaduan mempunyai persamaan dan menjadi asas utama kepada kerjasama sedia ada.

“Jadi, kenapa perlu kita terlalu melayan perbezaan sedangkan kita mempunyai matlamat yang sama?

“Bagi perkara-perkara tertentu yang memerlukan perbincangan lanjut, kita mempunyai Majlis Perundingan Antara Parti untuk menyelesaikan perbezaan dan memperkukuh kesepakatan,” katanya.

Dalam pada itu, Zahid menegaskan semua parti komponen kerajaan perpaduan termasuk Democratic Action Party menghormati empat tonggak utama yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, perkara itu melibatkan kedudukan agama Islam, institusi Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu serta hak istimewa orang Melayu.

“Mereka bukan sahaja menghormati, malah mengakui perkara itu adalah hakikat yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.

Kerajaan perpaduan dibentuk selepas PRU15 pada 2022 apabila tiada gabungan politik memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat