UMNO Buka Pintu Tanpa Syarat, Bekas Ahli Termasuk Hishammuddin & KJ Boleh Kembali

MELAKA: UMNO bersetuju menerima semula tanpa sebarang syarat mana-mana bekas ahli yang sebelum ini digantung, dipecat atau keluar parti atas pelbagai sebab.

Keputusan itu diumumkan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan disahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang berlangsung di Melaka pada malam Jumaat.

Menurut Asyraf Wajdi, antara nama yang diluluskan untuk kembali ialah Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin serta Tan Sri Syed Hamid Albar, selain melibatkan seramai 6,252 bekas pimpinan dan ahli di peringkat bahagian serta cawangan di seluruh negara.

Katanya, ketetapan itu selari dengan gagasan “Rumah Bangsa” yang diperkenalkan oleh Ahmad Zahid bagi membuka ruang seluas-luasnya kepada bekas ahli untuk kembali menyertai UMNO.

“Ia bertujuan memperkukuh semula parti dengan penyertaan semula ahli lama tanpa sebarang syarat,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC),” katanya.

Dalam perkembangan sama, MKT turut meluluskan pindaan Peraturan Keahlian selaras Fasal 5.2 Perlembagaan UMNO dengan membolehkan pendaftaran ahli dibuat secara dalam talian, khususnya bagi menarik penyertaan golongan muda.

Pada masa sama, beliau memaklumkan MKT mengambil maklum tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat akibat kenaikan harga minyak dan inflasi global, termasuk kesan konflik di Iran.

Sehubungan itu, negeri yang diterajui UMNO seperti Johor, Melaka, Perak dan Pahang disaran memperhebat bantuan kepada golongan terjejas.

Mengulas sambutan ulang tahun ke-80 UMNO yang dijadual berlangsung dari 1 hingga 5 Mei 2026 di World Trade Centre Kuala Lumpur, beliau berkata pelbagai program telah dirangka termasuk Konvensyen 80 Tahun UMNO, Kongres Pendidikan Bumiputera, Karnival Keusahawanan dan Pendidikan serta majlis ramah mesra Pemuda dan Puteri bersama ahli baharu.

Selain itu, MKT turut memberi kebenaran kepada sayap parti – Wanita, Pemuda dan Puteri – untuk mengadakan persidangan peringkat cawangan secara hibrid, menggabungkan kehadiran fizikal dan dalam talian, khususnya pada tahun tanpa pemilihan parti.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat