UMNO Bukan Milik Peribadi, Kata Khaled

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) bukan milik peribadi mana-mana individu, sebaliknya sebuah ‘rumah besar’ yang dibina untuk melindungi serta memajukan bangsa, kata Naib Presidennya, Datuk Sri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, sejak penubuhannya, UMNO berperanan sebagai wadah yang menyatukan serta mempertahankan kepentingan orang Melayu.

Katanya, seruan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang membuka ruang kepada bekas ahli untuk kembali menyertai parti wajar disambut secara terbuka oleh semua pihak.

“Seruan itu lahir daripada kesedaran bahawa UMNO bukan sekadar sebuah pergerakan politik, tetapi wadah yang melindungi, memajukan dan menyatukan orang Melayu,” katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, dalam segala kekuatan dan kelemahannya, UMNO tetap menjadi benteng yang memelihara maruah bangsa.

Sehubungan itu, Mohamed Khaled menyeru mana-mana pihak yang pernah bersama parti berkenaan supaya kembali ke pangkuan UMNO.

“Dalam sebuah keluarga besar, perselisihan dan kekhilafan adalah sesuatu yang lumrah.

“Namun, perselisihan itu tidak seharusnya menjadikan rumah ini dimusuhi.

“Di persadanya kita semua pernah membesar, terdidik dan mendapat perlindungan,” katanya.

Tambah beliau, hubungan antara UMNO dan orang Melayu terlalu mendalam sehingga sukar dipisahkan.

Parti itu, katanya, menjadi pelantar penting yang menghubungkan era penjajahan kepada kemerdekaan selain membantu mengangkat kedudukan bangsa daripada kemiskinan kepada kehidupan yang lebih sejahtera.

Anda Mungkin Berminat