Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Parti UMNO mengambil maklum mengenai keputusan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk tidak lagi bersama parti itu.
Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangannya, Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini, UMNO menghormati kebebasan setiap individu dalam membuat pilihan politik, namun menegaskan bahawa pelantikan ke dalam Jemaah Menteri adalah berdasarkan mandat parti.
“Saya mengambil maklum keputusan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk tidak lagi bersama parti.
“UMNO menghormati kebebasan setiap individu membuat pilihan politik; namun perlu ditegaskan bahawa perwakilan dalam Jemaah Menteri disandang adalah atas mandat parti yang diwakili, bukan atas kapasiti peribadi,” katanya.
Ujar Azalina, walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Majlis Perpaduan, setiap menteri yang dilantik tetap merupakan wakil rasmi kepada parti masing-masing.
“Walaupun YAB Perdana Menteri mempengerusikan Majlis Perpaduan, setiap Menteri yang dilantik adalah sebagai wakil rasmi parti masing-masing.
“UMNO tetap komited memberi khidmat kepada negara dalam kerangka Kerajaan Perpaduan dan akan terus menunaikan amanah rakyat.”
Justeru, Biro Undang-Undang UMNO telah diminta untuk meneliti segala implikasi undang-undang di bawah Akta Anti-Lompat Parti, termasuk melibatkan kedudukan seorang senator.
“Sehubungan itu, Biro Undang-Undang UMNO telah diminta meneliti implikasi Akta Anti-Lompat Parti, termasuk kedudukan seorang senator, bagi memastikan semua tindakan selanjutnya mematuhi kerangka perundangan.”
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan kepada ahli dan penyokong parti supaya terus kekal fokus kepada pembangunan negara, tanpa terpengaruh dengan keputusan politik peribadi.
“Saya menyeru ahli dan penyokong agar kekal fokus kepada pembangunan negara. Politik individu boleh berubah, tetapi perjuangan parti demi agama, bangsa dan negara harus kekal.”
Sebelum ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah mengeluarkan kenyataan yang mengejutkan partinya malah rakyat Malaysia mengenai keputusannya untuk keluar daripada parti UMNO dan berniat mahu memasuki ke Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Baca juga: