UMNO Perlu Reda Desakan, Elak Politik Negara Kembali Goyah – Syed Syah

PETALING JAYA: Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman menyeru kepimpinan UMNO agar meredakan tekanan terhadap Perdana Menteri berhubung isu Titah Adendum kepada Datuk Seri Najib Razak, demi memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara.

Beliau memberi amaran bahawa desakan berterusan oleh Ketua-Ketua Bahagian UMNO terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berisiko mencetuskan ketidaktentuan politik ketika negara sedang melalui fasa pemulihan ekonomi dan pentadbiran yang stabil.

“Justeru itu saya meminta kepimpinan UMNO untuk memainkan peranan meredakan desakan ini untuk mengelakkan sebarang ketidakstabilan politik berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Syed Syah berkata, kerajaan kini berada dalam keadaan baik dengan hala tuju ekonomi yang jelas dan keyakinan pelabur yang semakin meningkat.

Oleh itu, katanya, sebarang tindakan yang boleh mengganggu kestabilan politik dianggap tidak wajar.

“Adalah rugi jika kerajaan ini kembali menjadi tidak stabil hanya kerana satu desakan yang tidak wajar,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa desakan supaya Perdana Menteri melaksanakan Titah Adendum boleh ditafsirkan sebagai cubaan mencampuri urusan badan kehakiman, memandangkan perkara itu masih dalam proses perbicaraan di Mahkamah Persekutuan.

“Pendirian kerajaan ini jelas iaitu kuasa legislatif, eksekutif dan kehakiman tidak boleh dicampur-adukkan,” katanya lagi.

Syed Syah menyatakan keyakinan bahawa kerajaan akan bertindak secara adil dan berlandaskan undang-undang selepas keputusan muktamad mahkamah dicapai.

Anda Mungkin Berminat