Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: UMNO menzahirkan rasa syukur atas pengesahan kewujudan Titah Adendum oleh Peguam Negara yang memperakui bahawa terdapat arahan penahanan di rumah keatas Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan media hari ini yang ditulis oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

“UMNO mengucapkan syukur kepada Allah Taala dengan pengesahan kewujudan Titah Addendum oleh Peguam Negara semalam.
“Sekaligus memperakui titah bagi penahanan rumah Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak,” katanya.
Asyraf turut memaklumkan bahawa partinya menjunjung penuh kasih penuh kasih dan merafak sembah memohon ihsan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar titah tahanan rumah berkenaan dapat dilaksanakan dengan selaras dengan kuasa mutlak baginda di bawah Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Pada masa yang sama, beliau turut memohon agar dengan limpah kurnia Seri Paduka baginda membolehkan Najib Razak mendapat keringanan hukuman yang telah tertunda pada tahun lalu.
“Semoga dengan limpah kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan membolehkan Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak mendapat keringanan hukuman yang telah tertunda lebih setahun lalu,” ujarnya.
Baca juga:








