PETALING JAYA: UMNO menegaskan bahawa adalah tidak wajar bagi mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan merekrut ahli daripada parti komponen lain dalam gabungan tersebut kerana tindakan sedemikian boleh mengugat keharmonian politik yang sedang dibina.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu turut dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam.
“UMNO berpandangan tindakan parti dalam Kerajaan Perpaduan mengambil ahli daripada parti komponen lain adalah tidak berpatutan kerana boleh menimbulkan prasangka dan mengganggu keharmonian dalam kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu hadir susulan peletakan jawatan ahli MKT, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang memutuskan untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), selari dengan peranannya sebagai Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri.
Surat peletakan jawatan telah dihantar kepada Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan pada 31 Mei lalu.
Dalam perkembangan lain, Asyraf memaklumkan bahawa UMNO akan menjalankan kajian separuh penggal bagi menilai prestasi Kerajaan Perpaduan secara menyeluruh termasuk pencapaian pemimpin UMNO dalam pentadbiran serta agensi berkaitan.
MKT juga bersetuju untuk menunda tarikh asal Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 23 Ogos, kepada 26 hingga 29 November.
Penangguhan itu dibuat bagi memberi laluan kepada persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Dalam pada itu, UMNO turut merakamkan penghargaan kepada Badan Perhubungan UMNO Terengganu dan Perak atas keprihatinan mereka terhadap mangsa tragedi kemalangan bas di Gerik, yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).