UMNO Tidak Gelar Sesiapa Dajal – Azalina

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: UMNO tidak akan menggelar mana-mana pihak sebagai ‘dajal’ kerana parti itu konsisten mempertahankan kesucian agama tanpa perlu bersifat radikal dan ekstrem.

Malah, menurut Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, bagi UMNO, benteng kekuatan orang Melayu-Islam adalah kepimpinan berwawasan sebagaimana terbukti sepanjang parti itu ditubuhkan.

“Kemarahan dan emosi sukar dikawal jika kita mahu lakukan segalanya mengikut keselesaan apatah lagi sehingga ia meminggirkan kepentingan agama, bangsa dan tanah air,” katanya dalam kenyataan pasca Perhimpunan Agung UMNO (PAU2024) yang berakhir pada Sabtu.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata, UMNO sebagai parti tunjang kaum Melayu tidak akan berkompromi dalam soal agama, bangsa dan raja (3R).

Menurutnya, UMNO sebelum ini tidak pernah undur dalam mempertahankan maruah dan hak orang Melayu.

“Antara yang paling dibantah adalah agenda untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Perjanjian Rome Statute.

“UMNO telah menolak sejak awal lagi dan tidak akan membenarkan ia dibuat selagi parti ini terus berjuang untuk masyarakat Melayu-Islam,” katanya lagi.

Tegasnya, walaupun ada pihak melihat UMNO/BN hanya sekadar menjadi pelengkap kerajaan namun dalam kedudukan Presiden UMNO sebagai TPM bersama keseluruhan anggota Kabinet, tidak seinci pun akan dibiarkan maruah dirobek atau dirobohkan perjuangan ke atas Melayu-Islam.

Menurutnya, agenda berterusan adalah pemangkin pembangunan kesejahteraan masyarakat Melayu-Islam yang tidak menjejaskan kehidupan umat ini di tanah air sendiri.

Dalam pada itu, Azalina berkata, UMNO juga tidak akan membenarkan perpecahan berlaku disebabkan sesetengah pemimpin atau parti yang sentiasa membuat percaturan politik.

Sehubungan itu jelas beliau, UMNO akan terus menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara dulu, kini dan selamanya.

“Hatta, kedaulatan undang-undang seperti dalam Rukun Negara ketiga yang berlandaskan kepada keluhuran Perlembagaan perlu dihormati agar tidak merencat proses pembangunan dan kerancakan pembaharuan demi masa depan anak bangsa dan negara Malaysia tercinta kita ini.

“Proses undang-undang tidak mengenal latar jalur politik, agama mahupun kelas dan persempadanan negeri,” katanya.

Anda Mungkin Berminat