UMNO Yakin Akar Umbi Terus Bersama Kerajaan Perpaduan Hingga PRU16

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan keyakinan bahawa keputusan parti untuk kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) terus mendapat sokongan padu daripada akar umbi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan, pendirian tersebut bukan keputusan peribadi, sebaliknya dimuktamadkan melalui platform rasmi parti termasuk Mesyuarat Biro Politik, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) serta Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang diadakan tiga tahun lalu.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid menekankan bahawa Kerajaan Perpaduan perlu diperkukuh bukan sahaja dengan sokongan ahli parti, malah oleh Ahli Parlimen UMNO sendiri.

“Saya tidak ragu-ragu terhadap sokongan akar umbi. Ini bukan pendirian peribadi saya, tetapi pendirian parti yang telah dibincangkan dan diputuskan dalam Mesyuarat Biro Politik, MKT dan PAU.

“Saya kekal berpegang kepada keputusan tersebut. Kerajaan Perpaduan mesti diperkasakan dengan sokongan ahli parti serta Ahli Parlimen UMNO,” katanya, seperti dipetik berita tempatan pada Selasa.

Mengulas kemungkinan UMNO bertanding secara solo pada PRU16, Ahmad Zahid berkata keputusan itu akan ditentukan apabila hampir dengan tarikh pilihan raya.

“Sekiranya UMNO bertanding secara solo sekalipun, ia tidak bermaksud kita menolak kerjasama dengan parti lain berdasarkan garis panduan tertentu.

“Pembentukan kerajaan selepas PRU16 pula bergantung kepada jumlah kerusi yang dimenangi serta kekuatan sokongan terhadap calon UMNO,” jelasnya.

Sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN), beliau memaklumkan UMNO menyasarkan untuk bertanding di lebih 30 kerusi pada PRU16, termasuk kerusi ‘tier dua’ yang menyaksikan parti itu memperoleh undian kedua tertinggi.

“Bukan sahaja sasaran 30 kerusi untuk dimenangi, malah kerusi ‘tier dua’ juga akan diberi tumpuan, iaitu kerusi yang kita tewas tetapi meraih undi kedua tertinggi,” katanya.

Ditanya sama ada ia melibatkan kerusi yang dimenangi BERSATU, Ahmad Zahid berkata perkara itu bergantung kepada analisis menyeluruh data pilihan raya.

“Kita perlu membuat penelitian yang teliti terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, beliau berkata keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) terletak di bawah bidang kuasa Ketua Menteri dan Menteri Besar negeri masing-masing.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat