UMNO yakin dominasi PRN Sabah

PETALING JAYA: UMNO Sabah yakin bahawa parti itu dan Barisan Nasional (BN) akan mengembalikan zaman kegemilangan mereka dan menjadi dominan dalam arena politik Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, tidak mustahil untuk mencapai matlamat itu kerana UMNO-BN pernah menjadi parti tunjang politik Sabah sebelum ini.

“Saya menyambut baik kenyataan Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyeru agar UMNO-BN Sabah kembali menjadi parti dominan di negeri ini.

“Kenyataan itu bukan sekadar aspirasi tetapi ia satu seruan perjuangan yang mesti kita sahut dengan penuh keyakinan dan kesungguhan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran berkata, UMNO-BN Sabah pernah menjadi tunjang politik yang membawa kestabilan dan pembangunan kepada rakyat di negeri itu.

Justeru, beliau yakin bahawa dengan kebangkitan semula semangat perjuangan, kekuatan jentera parti serta sokongan rakyat, UMNO-BN mampu mengembalikan kegemilangan itu.

Katanya, usaha kini giat dilaksanakan bagi memperkukuh akar umbi dan meyakinkan rakyat bahawa UMNO-BN masih menjadi wadah terbaik untuk membela kepentingan mereka.

“Jentera parti di seluruh Sabah sedang giat digerakkan dan saya yakin dengan kesatuan serta semangat juang yang tinggi, UMNO-BN akan kembali sebagai kuasa utama politik Sabah.

“Kita tidak akan berundur, kita tidak akan goyah kerana perjuangan ini adalah demi rakyat dan negeri Sabah yang kita cintai,” tambahnya lagi.

Pada sambutan ulang tahun ke-34 UMNO Sabah di Tawau Ahad lalu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menyatakan harapannya agar UMNO kembali menjadi parti yang dominan di Sabah.

Anda Mungkin Berminat