Undi lebih penting daripada haji? Mujahid sifatkan kenyataan Hadi tidak bijak

PETALING JAYA: Pandangan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyarankan agar umat Islam mengutamakan kemenangan politik termasuk menangguhkan ibadah haji adalah tidak bijak dan tidak wajar.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, ibadah haji merupakan tuntutan agama yang amat besar ganjarannya dan perbandingan sedemikian adalah sangat tersasar daripada landasan yang betul.

“Saya tak tahu sama ada Tan Sri Abdul Hadi Awang tahu atau tidak proses untuk mendapatkan kuota haji itu 20 tahun.

“Jadi, bila dah dapat pergi haji, takkanlah kerana nak mengundi, tak pergi haji.

“Satu perkara yang bagi saya pandangan yang sangat tidak mendalam dan tidak bijak.

“Dengan membuat perbandingan begitu, dia (Hadi) telah membawa isu haji ini kepada satu isu yang dipolitikkan,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Beliau menambah bahawa ramai umat Islam bertahun-tahun menyimpan wang untuk menunaikan umrah dan tidak wajar ibadah ini turut dijadikan bahan perbandingan politik.

“Tak patut kita tarik hukum haji dan umrah ke dalam isu politik, sampai sanggup kata undi itu lebih penting,” tegasnya.

Mujahid turut melahirkan rasa kecewa sekiranya didikan seperti ini dijadikan pegangan oleh mana-mana pihak, khususnya parti politik yang berteraskan agama.

“Saya sangat kesal kalau itu yang dididik oleh PAS kepada orang ramai, betapa haji dan umrah pun telah dipolitikkan,” ujarnya.

Terdahulu, dalam ceramahnya di Tanjung Keramat, Perak, malam tadi, Abdul Hadi mengaitkan pandangannya dengan pengajaran daripada kehidupan Nabi Muhammad SAW.

Beliau menegaskan bahawa penguasaan politik umat Islam ke atas penganut agama lain adalah ketentuan Allah SWT.

“Utamakan kemenangan politik. Nabi nak tunaikan haji pun… nabi mendahulukan kemenangan politik daripada tunaikan haji dan umrah.

“(Ia) boleh ditangguh, kemenangan politik tidak boleh ditangguh,” katanya.

Anda Mungkin Berminat