UniPSAS kini digelar Universiti Al-Quran – Sultan Pahang

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan supaya Universiti Islam Pahang Sultan Haji Ahmad Shah (UniPSAS) dijenamakan semula sebagai Universiti Al-Quran.

Penjenamaan semula itu sekali gus menjadikan institusi berkenaan universiti Al-Quran pertama di negara ini, selaras usaha memperkukuh peranan Al-Quran sebagai teras pembangunan ilmu dan rohani di Negeri Pahang.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook Kesultanan Pahang, Baginda bertitah usaha memartabatkan agama Islam di negeri ini perlu diperkasakan melalui pengukuhan institusi berasaskan Al-Quran.

“Penjenamaan ini bukan sekadar perubahan nama, sebaliknya menjadi simbol hala tuju yang jelas dalam menjadikan Al-Quran sebagai mercu tanda pembangunan ilmu dan rohani negeri,” titah Baginda.

Menurut Baginda, langkah itu juga mencerminkan aspirasi jangka panjang negeri dalam melahirkan generasi berilmu yang berpaksikan wahyu.

“Penjenamaan ini ibarat mengangkat mercu tanda di puncak negeri, agar jelas kelihatan arah yang dituju dan tujuan yang dijunjung,” titah Baginda lagi.

Baginda turut menzahirkan harapan agar Universiti Al-Quran yang dijangka diisytiharkan secara rasmi dalam masa terdekat akan menjadi sumber ilmu yang berterusan serta melahirkan ilmuwan, pendakwah dan pemimpin berteraskan Al-Quran.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat