SERI ISKANDAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa bertemu dan berdialog bersama pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) dalam satu program syarahan awam yang menekankan peranan institusi pendidikan tinggi sebagai aset strategik negara.
Program bertajuk ‘Universiti sebagai Aset Strategik: Merencana Masa Depan Malaysia melalui Bakat, Teknologi dan Transformasi’ itu menjadi medan penting bagi mahasiswa UTP berinteraksi secara langsung dengan kepimpinan negara.
Ia membincangkan isu-isu masa depan pekerjaan, cabaran teknologi baharu serta keperluan membina tenaga kerja yang bukan sahaja berkemahiran tinggi tetapi juga beretika, inovatif dan berdaya tahan.
“Sesi dialog tersebut menjadi wadah penting bagi membincangkan isu masa depan pekerjaan, cabaran teknologi baharu serta keperluan membina tenaga kerja yang bukan sahaja berkemahiran tinggi tetapi juga beretika, inovatif dan berdaya tahan,” kata Perdana Menteri.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan melihat generasi muda sebagai rakan kongsi penting dalam menerajui transformasi nasional, seiring dengan gagasan Malaysia MADANI yang menekankan nilai ilmu, ihsan dan kemajuan berteraskan etika.
“Ia turut mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap generasi muda sebagai rakan kongsi penting dalam menerajui transformasi nasional seiring dengan gagasan Malaysia Madani,” tambah beliau.
Dalam lawatan tersebut, Anwar turut merasmikan panel solar bumbung tunggal terbesar di Malaysia yang dibangunkan di UTP hasil kerjasama dengan Gentari.
Projek tenaga hijau itu menjadi simbol komitmen kerajaan terhadap kelestarian alam dan agenda tenaga boleh diperbaharui.
“Saya turut merasmikan panel solar bumbung tunggal terbesar di Malaysia di UTP, hasil kerjasama dengan Gentari sebagai simbol komitmen terhadap agenda tenaga hijau dan kelestarian negara,” katanya.