UNRWA, Mesir Dan Qatar Kecam Serangan Israel Di Gaza

GAZA: Serangan terbaharu Israel ke atas Gaza yang meragut 32 nyawa mencetuskan kecaman keras daripada Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), selain Mesir dan Qatar yang bertindak sebagai perantara utama gencatan senjata.

Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini, menegaskan bahawa gencatan senjata yang dipersetujui kini hanya tinggal nama, sedangkan penduduk Gaza berhak menikmati gencatan senjata yang sah dan berkesan.

Beliau menekankan bahawa keadaan di lapangan menunjukkan keganasan masih berterusan, sekali gus menafikan hak rakyat Palestin untuk hidup dalam keadaan aman.

Mesir turut menyuarakan kebimbangan terhadap serangan itu dan menggesa semua pihak agar menahan diri daripada sebarang tindakan provokatif khususnya menjelang pembukaan semula lintasan Rafah yang menjadi nadi utama hubungan Gaza dengan Mesir.

Sementara itu, Qatar menyifatkan serangan tersebut sebagai peningkatan ancaman berbahaya yang boleh menggagalkan usaha serantau dan antarabangsa dalam mengekalkan gencatan senjata.

Negara Teluk itu menekankan bahawa keganasan berterusan hanya akan menambah penderitaan rakyat Palestin dan menjejaskan kestabilan di rantau berkenaan.

Anda Mungkin Berminat