PUTRAJAYA: Pendapatan pekerja formal di Malaysia terus menunjukkan peningkatan apabila median upah bulanan naik 4.3 peratus kepada RM2,864 pada Jun 2025, berbanding tempoh sama tahun lalu.
Perkembangan itu didedahkan dalam Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Kedua 2025 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh negara kekal kukuh, disokong oleh pertambahan bilangan pekerja formal warganegara yang meningkat 3.5 peratus kepada 6.97 juta orang.
“Median upah bulanan mencatat pertumbuhan positif pada setiap bulan sepanjang suku kedua 2025 iaitu 3.6 peratus pada April, 5.4 peratus pada Mei dan 4.3 peratus pada Jun,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, analisis mengikut jantina menunjukkan pekerja lelaki menerima median upah RM2,900, manakala pekerja perempuan sedikit rendah pada RM2,800.
Dari segi umur katanya, pekerja bawah 20 tahun mencatat peningkatan tertinggi sebanyak 13.3 peratus dengan median upah RM1,700.
Namun Mohd Uzir berkata, kumpulan umur 45 hingga 49 tahun kekal sebagai penerima upah tertinggi, iaitu RM3,800.
Katanya, semua sektor ekonomi mencatat pertumbuhan positif dengan sektor P
perlombongan dan pengkuarian mendahului peningkatan tertinggi sebanyak 10.2 peratus kepada RM6,500.
Tambah beliau, sektor pertanian pula kekal sebagai yang terendah, meskipun meningkat 10 peratus kepada RM2,200.
Dari segi geografi, Kuala Lumpur mencatat median upah tertinggi iaitu RM4,064, diikuti Selangor (RM3,145) dan Pulau Pinang (RM2,927).
Sebaliknya, Kelantan merekodkan median upah terendah pada RM1,764, diikuti Perlis (RM1,800) serta Sabah dan Kedah (masing-masing RM2,000).
Mohd Uzir turut mengakui jurang pendapatan masih ketara.
“Sepuluh peratus pekerja dengan pendapatan terendah hanya memperoleh RM1,664 atau kurang sebulan, berbanding RM9,200 bagi kumpulan 10 peratus teratas.
“Namun begitu, terdapat perkembangan positif apabila peratusan pekerja yang menerima gaji bawah RM1,700 menurun kepada 10.4 peratus, berbanding 22.6 peratus pada tahun sebelumnya.
“Statistik ini berasaskan data pentadbiran sektor formal dan DOSM akan terus memperkukuh pengeluaran data melalui portal MyLabourHub dan OpenDOSM NextGen bagi memperluas pemahaman terhadap pasaran buruh serta memastikan dasar negara berpaksikan bukti dan data berkualiti,” katanya.








