PENAMPANG: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, mengesahkan partinya akan bertanding di 25 kerusi pilihan raya umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah.
Ewon yang juga penyandang DUN Kadamaian berkata beliau akan mengetuai barisan calon UPKO dalam usaha memperjuangkan agenda pembangunan dan hak negeri itu.
“Saya akan memimpin calon-calon UPKO ini untuk memperjuangkan manifesto dan agenda Sabah First seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 serta hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada satu majlis bersama penyokong hari ini.
Menurutnya, kepimpinan berprinsip menjadi asas pemilihan calon-calon parti, selain setiap calon akan diberikan tanda aras dan petunjuk prestasi bagi memastikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Ewon turut menegaskan bahawa UPKO komited memperjuangkan pelaksanaan hak 40 peratus hasil Sabah daripada kerajaan Persekutuan.
“Dengan pembayaran semula hasil tersebut, kita boleh membangunkan infrastruktur dan kemudahan, memacu ekonomi serta keusahawanan, membasmi kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah dengan lebih berkesan,” ujarnya.
Beliau menyeru para pengundi untuk bersama-sama menyokong agenda #SabahFirst sebagai asas perjuangan UPKO dalam pilihan raya ini.
“Saya dan semua calon UPKO memohon sokongan seluruh rakyat Sabah,” katanya.
Baca juga:








