PUCHONG: Universiti Putra Malaysia (UPM) tampil menepis dakwaan bahawa tanah milik universiti itu telah dipajak kepada pihak luar untuk tujuan komersial.
Dalam kenyataan rasmi hari ini, UPM menegaskan bahawa Projek Ladang Bersepadu di Puchong dijalankan mengikut prosedur sah serta diaudit bagi memastikan ketelusan.
Menurut universiti itu, projek pertanian tersebut hanya melibatkan 402 ekar tanah dan bukan 500 ekar seperti yang didakwa.
Difahamkan, hanya 114 ekar digunakan secara berfasa untuk tempoh tujuh tahun dan bukannya pajakan mutlak selama 21 tahun.
“Tiada satu inci pun tanah UPM dijual atau dilepaskan hak milik kekal kepada mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.
Dalam menjelaskan sumber dana, universiti itu mengesahkan bahawa RM35 juta yang diperuntukkan oleh Kementerian Ekonomi melalui Projek IPR-INTAN digunakan sepenuhnya untuk pembangunan infrastruktur termasuk rumah hijau, kolam ternakan, pusat pengumpulan dan pusat jualan hasil tani.
“Segala perolehan dibuat mengikut prosedur, dipantau rapi dan direkod dalam audit awam.
“Tiada peruntukan luar kawalan seperti yang didakwa,” jelas kenyataan tersebut.
UPM juga menegaskan bahawa projek itu bukan semata-mata bersifat komersial tetapi bertujuan melatih pelajar membangunkan usahawan tani dan memberi manfaat kepada peserta e-Kasih.
“Ini bukan pemborosan tetapi pelaburan untuk masa depan makanan negara.
“Ia juga menjadi makmal hidup (living lab) bagi pelajar dan penyelidik,” tambah UPM.
Dalam hal kerjasama dengan syarikat Yun Fook Resources, universiti menjelaskan bahawa pelantikan syarikat tersebut melalui kelulusan Jawatankuasa Universiti dan disahkan oleh Lembaga Pengarah serta mendapat pandangan pakar pertanian bebas.
Selain itu, katanya, semua fasiliti yang dibangunkan akan direkod sebagai aset rasmi universiti dan pulangan dikongsi secara telus.
UPM turut menggesa agar institusi pendidikan tidak dipolitikkan dan menekankan kepentingan kritikan yang berasaskan fakta, bukan persepsi.