PETALING JAYA: Suasana pilu menyelubungi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) apabila 15 pelajarnya terkorban dalam satu kemalangan tragis di Jalan Raya Timur Barat berhampiran Tasik Banding, Perak awal pagi tadi.
Nahas yang melibatkan sebuah bas persiaran dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Alza turut mengakibatkan tujuh lagi pelajar mengalami kecederaan parah.
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima laporan awal mengenai kemalangan tersebut dan sedang mengambil tindakan susulan.
“Pihak UPSI telah membuka bilik gerakan dan sebarang maklumat boleh diperoleh melalui talian 05-450 7148 (Pejabat) atau 019-571 9977 (Hotline).
“Kami sentiasa prihatin terhadap kebajikan pelajar dan akan memberi bantuan serta sokongan kepada waris,” katanya.
Universiti itu turut menyeru seluruh warga UPSI dan masyarakat umum agar bersama-sama mendoakan kesejahteraan mangsa serta keluarga mereka dalam menghadapi detik sukar ini.
Terdahulu, menurut Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Perak, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu daripada Hospital Gerik pada pukul 1.10 pagi.
Setibanya di lokasi, pasukan penyelamat mendapati bas tersebut telah terbalik dan mengakibatkan 13 mangsa maut di tempat kejadian manakala dua lagi menghembuskan nafas terakhir di hospital.
Bas yang membawa pelajar UPSI itu difahamkan dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak.