Urus Dengan Tenang, Jangan Sampai Jalur Gemilang Jejas Kerajaan Perpaduan – Nur Jazlan

PETALING JAYA: Isu Jalur Gemilang perlu diurus dengan tenang dan tidak seharusnya menjejaskan hubungan kerjasama antara UMNO dan DAP dalam Kerajaan Perpaduan, tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Menurut laporan Utusan Malaysia, Nur Jazlan berkata, semua pihak wajar mengutamakan kestabilan politik negara berbanding tindakan yang boleh mengeruhkan hubungan antara parti dalam kerajaan.

“Isu ini tidak boleh mengganggu kepentingan kedua-dua parti secara keseluruhan.

“Hubungan kerjasama mesti dikekalkan untuk kestabilan politik negara,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh yang mengetuai perarakan di Kepala Batas berhubung insiden Jalur Gemilang dipasang secara terbalik, Nur Jazlan berkata, Akmal berhak menyuarakan pendirian meskipun tidak selari dengan pandangan pihak lain.

“Akmal buat apa yang dia percaya. Sama ada semua orang setuju atau tidak, itu tidak penting,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan pimpinan DAP agar tidak mengeruhkan keadaan dengan retorik yang boleh membangkitkan ketegangan.

“Dulu pemimpin DAP juga lantang sehingga menimbulkan kebencian orang Melayu.

“Bezanya sekarang mereka sudah menjadi menteri. Jadi, DAP pun jangan cakap banyaklah,” katanya merujuk kepada Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming.

Semalam, Pemuda DAP Melaka menolak politik kebencian yang didakwa dimainkan Akmal serta menggesa parti itu memutuskan kerjasama politik dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu.

Pemuda DAP Selangor turut senada dengan desakan tersebut.

Pada 14 Ogos lalu, Dr Akmal mengetuai perarakan kira-kira 500 penyokong UMNO, Bersatu dan PAS susulan insiden Jalur Gemilang terbalik di sebuah kedai perkakasan di Kepala Batas.

Tindakan itu mengundang kritikan keras pemimpin DAP hingga ada yang mendesak hubungan politik dengan beliau diputuskan.

Susulan itu, Dr Akmal dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Beliau juga sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas pertuduhan menimbulkan kegentaran terhadap keselamatan awam melalui media sosial.

Mahkamah menetapkan 22 September ini untuk sebutan semula kes tersebut.

Anda Mungkin Berminat