Usah kecil hati dengan Sabah dan Sarawak

Oleh: Syahir

ULASAN | Banyak komen macam ni bila harga RON95 tanpa subsidi dan Diesel diumumkan naik kelmarin.

Ada yang secara menyindir tanya “Sabah dan Sarawak tidak terkesan dengan perang dekat Iran ke harga minyak tak naik?”

Dulu bila harga bersubsidi RON95 dan Diesel dikekalkan di Sabah dan Sarawak ada yang cakap sebab nak PRN (pilihanraya negeri) Sabah.

Lepas PRN Sabah pun subsidi petrol dan diesel tetap dikekalkan di sana jadi subsidi diberi kepada rakyat Sabah dan Sarawak bukan kerana pilihanraya.

Nak faham kenapa Kerajaan kekalkan subsidi petrol dan terutamanya diesel kepada rakyat Sabah dan Sarawak tak susah.

Pertama penggunaan petrol dan diesel di Sabah dan Sarawak tidak sebesar di Semenanjung Malaysia.

Sebagai contoh, jualan petrol di Malaysia adalah 113.2 juta tong setahun, hanya 5.8 juta tong dijual di Sabah dan 5.6 juta tong di Sarawak yang mana jualan petrol di kedua-dua buah negeri ini hanya mewakili 11.4 juta tong atau 10 peratus sahaja daripada jualan petrol di seluruh Malaysia.

Manakala untuk Diesel, jualan keseluruhan di Malaysia adalah 82.8 juta tong dan jualan di Sabah 10.5 juta tong dan Sarawak 9.1 juta tong di mana jualan Sabah dan Sarawak mewakili 19.5 juta tong atau 24 peratus daripada keseluruhan jualan Diesel dalam negara.

Ini bermakna sebahagian besar penjualan Petrol dan Diesel adalah di Semenanjung Malaysia dengan 90 peratus jualan Petrol dan 76 peratus jualan Diesel di Sabah dan Sarawak.

Ini menjadikan subsidi pukal minyak Petrol dan Diesel dinikmati lebih banyak oleh penduduk di Semenanjung Malaysia berbanding Sabah dan Sarawak sebelum subsidi Diesel dirasionalisasikan pada 2024.

Sebagai contoh pada tahun 2024, Kerajaan menanggung RM11.5 bilion untuk subsidi Diesel di seluruh negara, tetapi hanya RM2.4 bilion untuk Sabah dan Sarawak sekitar 20 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan subsidi Diesel.

Persoalannya adakah adil untuk Kerajaan terus menanggung subsidi pukal Petrol dan Diesel di Sabah dan Sarawak manakala pengguna di Semenanjung terpaksa membayar harga pasaran tanpa subsidi? (pengguna Diesel)

Kalau nak cakap pasal keadilan, Sabah dan Sarawak mengeluarkan 350.89 ribu tong minyak dan kondensat sehari berbanding Semenanjung yang mengeluarkan 162.09 ribu tong sehari.

Sabah dan Sarawak mewakili 68 peratus pengeluaran minyak dan kondensat berbanding Semenanjung hanya 32 peratus.

Bukankah tidak adil Sabah dan Sarawak yang mengeluarkan majoriti minyak mentah negara tetapi menikmati subsidi yang lebih kecil berbanding Semenanjung?

Itu kita tak cakap lagi pasal pengeluaran gas asli yang sebahagian besarnya dikeluarkan oleh Sarawak.

Jadi pesan saya kepada kawan-kawan dekat sini janganlah terasa hati dengan kawan-kawan kita di Sabah dan Sarawak yang tetap mendapat subsidi petrol dan diesel di sana.

Terutamanya pengguna Diesel, di Sabah dan Sarawak ada cabaran berbeza dengan Semenanjung dengan keadaan geografi yang lebih mencabar memerlukan mereka menggunakan lebih banyak kenderaan berkuasa Diesel.

Tambah lagi Sabah dan Sarawak banyak menyumbang kepada hasil negara dan Kerajaan yang disalurkan kepada kita semua rakyat Malaysia.

Kita di Semenanjung tetap menerima subsidi BUDI95 pada harga RM1.99 buat masa ini dan pengguna Diesel menerima RM200 Budi Madani Diesel dengan tambahan interim RM100 bulan ini.

Tak perlu menyindir sesiapa bila subsidi Sabah dan Sarawak dikekalkan kerana ianya adil untuk mereka terus menerima subsidi tersebut selari dengan keperluan mereka yang lebih rendah dan juga status mereka sebagai pengeluar minyak utama negara kita.

Perang di Timur Tengah memberi kesan kepada semua dan tidak ada yang terkecuali.

Kita tunggu apa langkah-langkah yang Kerajaan akan umumkan selepas Mesyuarat Kabinet Khas yang diadakan hari ini.


***Penulis adalah pemerhati ekonomi dan sentiasa mengulas isu-isu semasa di media sosialnya

Anda Mungkin Berminat