KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan menegaskan bahawa kajian kebolehlaksanaan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur yang sedang dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) perlu dinilai secara berfakta dan akademik, bukan melalui emosi atau andaian.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin mengingatkan masyarakat agar tidak terburu-buru membuat kesimpulan sebelum hasil kajian diumumkan sepenuhnya.
“Usah cepat melatah dan menilai kajian ini secara emosi atau andaian.
“Kajian itu telah bermula sejak Disember tahun lalu dan masih berjalan, justeru sebarang kesimpulan awal tanpa menunggu dapatan penuh adalah bersifat pramatang,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Azman berkata, UIAM sebagai institusi pengajian tinggi berwibawa melaksanakan kajian tersebut mengikut kaedah ilmiah dan standard akademik yang diiktiraf.
Beliau turut menegaskan bahawa sehingga kini belum ada keputusan rasmi mengenai pelaksanaan pilihan raya Datuk Bandar, sama ada di Kuala Lumpur atau di negeri lain.
PKR Wilayah Persekutuan juga mengambil maklum kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, bahawa hasil kajian itu akan dibentangkan kepada Jemaah Kabinet Kerajaan MADANI untuk penelitian lanjut.
Sehubungan itu, Azman menyeru semua pihak agar bersikap rasional dan memberi kepercayaan kepada proses kajian serta pertimbangan dasar yang sedang berjalan.
“Pendekatan berasaskan hujah, data dan penilaian menyeluruh adalah lebih wajar berbanding polemik semata-mata,” ujarnya.








