Usah tangguh lagi pelaksanaan subsidi RON 95 – CAP

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Kerajaan disaran untuk tidak menangguhkan pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api RON95 susulan pelbagai ketirisan dan tidak efisien yang wujud dalam sistem subsidi menyeluruh ketika ini.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, sistem subsidi sedia ada yang meliputi petrol RON95 dan diesel memberi manfaat sama rata kepada semua pihak tanpa mengira tahap pendapatan termasuk isi rumah berpendapatan tinggi dan entiti asing sekali gus membuka ruang kepada aktiviti penyeludupan bahan api secara berleluasa.

“Di bawah skim tersebut, semua pengguna menikmati jumlah subsidi yang sama, menyebabkan manfaat turut dinikmati oleh kenderaan dari luar negara dan penyeludup.

“Walaupun terdapat usaha kerajaan untuk mengekang penyalahgunaan ini, penguatkuasaan dilihat masih longgar, dengan tindakan lebih bersifat peringatan kepada pengusaha stesen minyak. Akibatnya, negara mengalami kerugian berjuta-juta ringgit setiap tahun,” katanya kepada Malaysia Bangkit pada Khamis.

Sehubungan itu katanya, subsidi sewajarnya diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan dan bukan hanya pada golongan mewah semata-mata.

Mohideen turut mengimbau kembali pengumuman yang dibuat oleh kerajaan pada sebelum ini iaitu pelaksanaan penyasaran subsidi diesel pada Jun 2024 dijangka menjimatkan sekitar RM7.5 bilion setahun, menurut pengumuman kerajaan sebelum ini.

“Penjimatan ini boleh disalurkan kepada pembangunan sistem pengangkutan awam, peningkatan infrastruktur serta sokongan langsung kepada kumpulan B40,” ujarnya.

Kata beliau lagi, dalam jangka panjang, pendekatan subsidi bersasar bukan sahaja dapat mengurangkan pembaziran, malah membantu mengukuhkan keadilan sosial serta memperkasa penggunaan sumber awam dengan lebih berkesan.

“Bagaimanapun, pelaksanaannya memerlukan perancangan rapi, termasuk penilaian kelayakan isi rumah, mekanisme pengagihan subsidi seperti pemindahan tunai atau pembayaran digital, serta penyelarasan data antara agensi kerajaan,” tambahnya.

Oleh yang demikian, kerajaan kini digesa untuk segera memperkenalkan mekanisme subsidi bersasar bagi petrol RON95 demi menjamin kelestarian fiskal negara dan memastikan bantuan kerajaan sampai kepada mereka yang paling memerlukan.

Sidang Parlimen Khas yang lalu, memaparkan dua ahli Dewan Rakyat menggesa kerajaan menangguhkan dasar fiskal seperti penarikan subsidi RON95 dan kenaikan tarif elektrik berikutan kebimbangan terhadap tekanan kewangan ke atas rakyat akibat tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS).

Mereka merupakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menyuarakan pandangan mereka terhadap beban kos sara hidup yang semakin menghimpit pengguna.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat