RIO DE JANEIRO: Delegasi Malaysia menutup tirai lawatan kerja ke Sidang Kemuncak BRICS di Brazil dengan pencapaian yang membanggakan, apabila negara berjaya menarik perhatian pelabur antarabangsa berkat komitmen padu Kerajaan MADANI dalam memperkukuh jaringan kerjasama global.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, lawatan itu bukan sekadar menyentuh hubungan dua hala dengan Brazil tetapi turut merangkul negara-negara anggota BRICS lain termasuk China, Rusia, India dan Afrika Selatan.
Katanya, usaha diplomasi itu membuahkan hasil apabila Malaysia kini dilihat sebagai destinasi pelaburan yang kian mendapat kepercayaan dunia.
Beliau berkata, sokongan bersepadu jentera kerajaan memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi.
“Nama Malaysia terus meniti di bibir para pelabur antarabangsa hasil komitmen tidak berbelah bahagi seluruh pasukan Kerajaan MADANI dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi yang mampu memacu pertumbuhan dan menjana manfaat buat rakyat.
“Usah kita terganggu dengan suara sumbang yang cuba memperlekeh usaha ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Tambah Anwar, komitmen Malaysia bukan sahaja bersandarkan kepada diplomasi tetapi juga keberanian untuk menongkah suara skeptikal yang cuba memperlekeh usaha tersebut.
Beliau turut menyatakan bahawa perjuangan untuk memperkukuh ekonomi dan memberi manfaat kepada rakyat akan diteruskan dengan tekad yang utuh.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan lawatan itu termasuk pegawai kementerian, Kedutaan Besar Malaysia di Brazil, pasukan keselamatan dan wakil media yang memainkan peranan penting sepanjang misi berlangsung.
“Obrigado, Brasil. Até nos encontrarmos novamente (Terima kasih, Brazil. Semoga kita bertemu lagi),” katanya.