PETALING JAYA: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memberi jaminan bahawa usaha menangani kerenah birokrasi akan diperluaskan ke semua agensi dan badan berkanun di bawah kementeriannya, susulan kejayaan awal pelaksanaan reformasi dalaman.
Katanya, beberapa agensi seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) telah menunjukkan kemajuan ketara hasil pelaksanaan reformasi berkenaan.
“Finas berjaya mempercepatkan proses kelulusan permohonan skrip bagi syarikat antarabangsa daripada 30 hari kepada hanya tujuh hari. Ini satu pencapaian besar,” katanya pada sidang media mingguan.
Tambah beliau, Puspal turut mencatat kemajuan menerusi pelancaran Garis Panduan Puspal (GPP) 6.0 pada April lalu yang membantu mempercepat proses kelulusan penganjuran konsert dan aktiviti penggambaran oleh syarikat serta artis luar negara.
Kejayaan kementerian itu turut mendapat pengiktirafan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, yang menyatakan Kementerian Komunikasi antara tiga kementerian terawal melaksanakan reformasi birokrasi dan diberikan sijil penghargaan khas.
Shamsul turut mendedahkan bahawa pemendekan proses kelulusan skrip filem asing daripada 30 ke tujuh hari berjaya menjimatkan kos beban peraturan sehingga RM2.4 juta bagi setiap produksi, sekali gus meningkatkan daya saing Malaysia sebagai destinasi penggambaran pilihan.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata kementeriannya kini sedang meneliti proses permohonan lesen di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Saya akan pastikan usaha mengurangkan birokrasi ini diteruskan dan diperhebat di semua agensi lain di bawah kementerian,” katanya.
Baca juga: