Usaha Bersama Pastikan Keperluan Ramadan Kekal Mampu Milik – Zahid

PETALING JAYA: Menjelang Ramadan, rakyat mula membuat persiapan untuk menyambut bulan penuh keberkatan dengan tenang dan sempurna.

Bagi memastikan keperluan asas kekal mampu milik, kerajaan bersama industri runcit terus memperkukuh sinergi demi kesejahteraan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen ‘Mega Rahmah Ramadan dan Kasih Syawal’ anjuran MYDIN Mohamed Holdings Berhad di MYDIN HQ USJ Subang.

Kempen itu bertujuan membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan dan kelengkapan hari raya pada harga berpatutan, selain memperkasa produk tempatan agar terus berkembang dalam pasaran arus perdana.

Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (EXEC-NACCOL), beliau berkata, usaha menangani kos sara hidup memerlukan ekosistem yang bersepadu.

“Insya-Allah, sinergi antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat akan terus diperkasakan demi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan khususnya dalam menyambut Ramadan dan Syawal yang bakal menjelang,” katanya.

Dalam majlis sama, beliau turut melancarkan produk minyak masak jenama Kak Long yang bakal memasuki rangkaian pasaran MYDIN.

Zahid melihat kemasukan produk tempatan sebagai langkah positif membuka lebih banyak ruang kepada usahawan untuk berkembang dan bersaing secara sihat dalam pasaran runcit negara.

Beliau menyeru rakyat agar terus menyokong produk tempatan kerana setiap sokongan itu bukan sahaja mengukuhkan ekonomi rakyat, malah membuka peluang kepada lebih ramai usahawan untuk melangkah lebih jauh.

Anda Mungkin Berminat