Usaha Perdamaian Thailand–Kemboja Kerja Pasukan, Bukan Individu – PM

PETALING JAYA: Usaha perdamaian antara Thailand dan Kemboja bukanlah hasil usaha peribadi semata-mata, sebaliknya berteraskan komitmen padu pasukan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, pencapaian itu membuktikan kekuatan kerja berpasukan melibatkan Kementerian Luar Negeri, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani krisis serantau secara berkesan dan dihormati dunia.

“Tak betul (apa) yang kita capai itu disebabkan PM Anwar.

“Ia adalah hasil kerja pasukan kita yang terdiri daripada Kementerian Luar, Panglima ATM serta polis,” katanya.

Anwar berkata, kestabilan politik dan ekonomi Malaysia menjadi faktor utama negara diberi kepercayaan untuk memimpin rundingan damai.

“Syukur Alhamdulillah politik Malaysia stabil, orang hormat dan ekonomi baik.

“Sebab itu bila ada ketegangan, usaha perdamaian diserahkan kepada kita dan diiktiraf dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Usahawan Tenusu MADANI yang berlangsung di Ladang Tenusu Farm Fresh Pondok Tanjung, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohd Sabu; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta Ketua Pengarah Operasi Farm Fresh, Azmi Zainal.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri memaklumkan bahawa Panglima ATM sendiri bergegas ke kawasan sempadan bagi memastikan pelaksanaan gencatan senjata berjalan lancar bersama rakan sejawat dari Thailand dan Kemboja.

Katanya, pegawai PDRM turut memainkan peranan penting dengan memberi kerjasama penuh kepada pasukan keselamatan kedua-dua negara, demi menjamin kelancaran pelaksanaan perjanjian damai.

Malaysia, di bawah kepimpinan Anwar selaku Pengerusi ASEAN, sebelum ini mengumumkan bahawa Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat bermula 28 Julai, susulan ketegangan yang tercetus sejak 28 Mei lalu.

Anda Mungkin Berminat