MOSCOW: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kekuatan sesebuah negara bukan hanya diukur melalui pencapaian ekonomi semata-mata, tetapi bergantung kepada tatakelola yang baik serta iltizam kepimpinan untuk membanteras rasuah dan budaya salah guna kuasa.
Beliau berkata demikian ketika berdialog bersama para pelajar Malaysia di Moscow dalam rangka lawatan kerja rasmi ke Rusia bersama beberapa anggota Jemaah Menteri.
“Malaysia tidak boleh dikenang sebagai negara yang dicemari rasuah atau terperangkap dalam perpecahan kaum dan agama. Pemimpin mesti menjauhi amalan memunggah kekayaan untuk kepentingan sendiri dan keluarga,” katanya.
Menurut Anwar, negara akan hanya mampu melangkah ke hadapan sekiranya rakyat, terutama pemimpin dan penjawat awam, mengangkat prinsip keadilan, ketelusan dan akauntabiliti dalam setiap tindakan dan dasar.
Beliau turut mengingatkan bahawa pelaburan besar daripada syarikat gergasi seperti Google, Microsoft, NVIDIA, ARM dan Infineon hanya akan memberi pulangan mampan jika Malaysia mampu membina ekosistem bakat dan tenaga mahir yang kompeten dan berintegriti.
“Ilmu yang ditimba di luar negara harus diterjemahkan menjadi kekuatan daya saing negara. Anak-anak Malaysia di perantauan memainkan peranan penting sebagai duta kecil negara, dan mereka perlu kembali bukan sahaja dengan kepakaran, tetapi juga semangat kebangsaan yang tinggi,” ujar beliau.
Dialog turut menyentuh kegusaran pelajar terhadap isu peluang pekerjaan di tanah air serta kesukaran mengundi dari luar negara.
Sebagai respons, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa Kerajaan MADANI komited untuk memperluaskan peluang pekerjaan bernilai tinggi serta memperkenalkan sistem pengundian dalam talian bagi menjamin hak demokratik rakyat Malaysia di luar negara.
Mengakhiri sesi wacana, Anwar menyeru para pelajar untuk terus menimba ilmu, meneroka bidang baharu dan kekal berpegang kepada jati diri sebagai rakyat Malaysia.
“Teruslah menggapai langit, namun jangan lupa untuk mengakar ke bumi,” katanya.
Baca juga: