‘Uya nak bagi lukisan kepada PMX’

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Susulan kejadian banjir yang berlaku di Kedah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini telah menghubungi seorang kanak-kanak perempuan yang turut menjadi mangsa banjir menerusi panggilan video.

Menerusi panggilan video yang berdurasi 1 minit yang dikongsikan sendiri oleh Anwar atau lebih dikenali sebagai PMX, kanak-kanak bernama Uya kelihatan sangat teruja sehingga menunjukkan semua lukisan yang dihasilkannya.

“Petang tadi, saya sempat membuat panggilan bersama adik Uya dari Kedah yang baru-baru ini bersama keluarganya diuji dengan musibah banjir.

“Mereka pada ketika itu pun telah ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Taman Aman, Alor Setar Kedah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, pada Jumaat.

Anwar turut mendoakan kanak-kanak cilik itu bersama keluarganya untuk terus diberi kekuatan oleh Allah SWT pada ketika ditimpa musibah.

“Nanti jika ada masa Tok Anwar akan mai lagi ke Kedah dan jumpa Uya, Insya-Allah,” katanya.

Dua hari yang lalu, pemilik akaun tiktok @husnanawwarloksin telah membuat perkongsian mengenai anaknya, Uya yang sedang melukis susuk tubuh Perdana Menteri Malaysia itu dan dikatakan kanak-kanak perempuan itu sangat teruja dengan kebaikannya.

Video yang berdurasi 1 minit 16 saat itu telah menjadi perhatian warganet sehingga mendapat panggilan daripada Anwar sendiri.

Anda Mungkin Berminat