Van Rapid KL bantu anak-anak ke sekolah – Mangsa letupan Putra Heights

Oleh: Tyah Helmi

PUCHONG: Insiden letupan serta kebakaran paip gas di Putra Height tidak menjadi penghalang buat 27 pelajar dan murid yang terjejas untuk tetap menghadirkan diri ke sekolah.

Menurut Jurucakap Prasarana di dalam satu kenyataan kepada Malaysia Bangkit hari ini, pihaknya bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak berkuasa yang lain telah membentuk satu inisiatif baharu buat anak-anak mangsa insiden terbabit untuk kekal cekal menuntut ilmu di sekolah masing-masing.

“Prasarana bersama pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak berkuasa tempatan mewujudkan satu perkhidmatan menghantar pelajar sekolah menggunakan ‘Van Rapid KL On-Demand’.

“Jumlah pelajar sekolah sesi pagi yang dihantar pada hari ini adalah sebanyak 27 pelajar daripada 19 buah sekolah,” katanya.

Kata jurucakap itu, sebanyak lima buah van yang diaktifkan bagi menghantar pelajar sekolah ke sekolah yang lain.

“5 buah van Rapid KL On-Demand bagi digerakkan bagi memastikan kelancaran proses penghantaran pelajar ke sekolah,” katanya.

Pada perkembangan sama, tinjauan kami juga turut menemui seorang ibu yang bersyukur bahawa kebajikan anak-anak mereka mendapat perhatian serius terutamanya berkaitan perjalanan ke sekolah mereka.

Seorang ibu kepada empat orang cahaya mata yang dikenali sebagai Zurina menzahirkan rasa bersyukur apabila urusan persekolahan anak-anak mereka dibantu urus oleh kerajaan meskipun mereka dihimpit ujian akibat insiden letupan paip gas di Putra Height.

Ujarnya, anak mereka berasa selesa dengan kemudahan van rapid kl yang membawa anak mereka pergi dan pulang ke sekolah dengan keadaaan yang lancar.

“Anak-anak berasa mereka istimewa lah sekejap, semua selesa dah berjalan dengan lancar.

“Dalam pada itu sebab semua cikgu KPM daripada PPD banyak turun membantu perjalanan anak anak pergi ke sekolah,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Inisiatif itu digerakan dengan kerjasama Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), PPD Petaling Perdana, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Prasarana Malaysia Berhad.

Sementara itu, Pengurus Besar Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) Nur Mohd Razali Abdullah berkata bantuan perkhidmatan pengangkutan itu, setakat ini disediakan untuk tempoh dua minggu bergantung keperluan dan situasi semasa.

Beliau berkata khidmat pengangkutan yang disediakan meliputi pergerakan menghantar dan mengambil pelajar-pelajar dalam lingkungan radius tujuh kilometer dari PPS ke sekolah masing-masing.

“YIDE kekal komited memastikan kebajikan para pelajar yang terjejas terurus. Segala bentuk bantuan akan disalurkan secara berperingkat, demi memastikan setiap pelajar dapat meneruskan sesi persekolahan dalam keadaan dan selesa,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat