MUAR: Empat nelayan tempatan ditahan selepas disahkan positif dadah jenis Methamphetamine dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Johor di perairan Tanjung Emas, Muar pada 18 hingga 19 September lalu.
Operasi selama dua hari itu melibatkan Bot PENGGALANG 30 dan Bot PETIR 85 serta penyertaan 12 pegawai AADK Negeri Johor dan AADK Muar, diketuai Timbalan Pengarah Cawangan Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Johor, Zatul Rawihah Abdul Razak.
Menurut Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal, sebanyak tujuh vesel nelayan tempatan telah diperiksa sepanjang operasi.
“Hasil pemeriksaan dan saringan air kencing mendapati empat warga tempatan positif Methamphetamine.
“Kesemua mereka ditahan dan diserahkan kepada pihak AADK untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.
Tambahnya, dua daripada vesel yang ditahan kemudiannya dibebaskan dan diserahkan semula kepada pemilik masing-masing.
Tegas Mohammad Zaini, Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan operasi bersama agensi penguat kuasa lain bagi memastikan perairan negara bebas daripada jenayah khususnya penyalahgunaan dadah.
“Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh keselamatan di laut, malah memberi mesej jelas bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” tegasnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut digesa menyalurkannya melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di 07-4344020 untuk tindakan segera.