LUMUT: Sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) Kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak selepas didapati melanggar syarat lesen dengan menangkap ikan kurang daripada 15 batu nautika dari daratan, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, penahanan dilakukan sekitar jam 3.25 petang di kedudukan 13.7 batu nautika barat Pulau Buluh ketika kapal agensi itu menjalankan rondaan rutin.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut dikendalikan seorang tekong bersama empat awak-awak, tiga daripadanya warga Thailand dan seorang warga Kemboja. Semua kru memiliki salinan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, kru bersama vesel, peralatan menangkap ikan dan hasil laut dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen.
Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan pemantauan bagi memastikan aktiviti perikanan dijalankan mengikut undang-undang serta menjamin kelestarian sumber laut negara.
“Kerjasama nelayan dan komuniti maritim amat penting dalam mengekang sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang di laut,” tambahnya.
Orang ramai diseru menyalurkan maklumat berkaitan jenayah maritim melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di 05-683 2254 untuk tindakan segera.
Maritim Malaysia komited melaksanakan penguatkuasaan undang-undang di laut, termasuk membanteras kegiatan perikanan haram, penyeludupan dan pencerobohan zon perikanan bagi memastikan kesejahteraan nelayan tempatan dan sumber marin negara terus terpelihara.
Baca juga:








