Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Bantuan Sara Hidup (BSH) bagi veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen akan ditambah daripada RM300 kepada RM500 sebulan bagi yang layak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkara itu dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 yang berlangsung di Putrajaya hari ini.
Katanya, pertimbangan tersebut dibuat bagi membantu meringankan beban kos sara hidup veteran ATM yang terlibat.
“Tahun lalu (2023) saya beri RM300, tahun ini selari dengan pelarasan gaji kita pastikan naik RM500 sebulan bagi kategori yang layak.
“Ini mengiktiraf sedaya upaya meliputi semua pihak termasuk Veteran tidak berpencen,” katanya.
Pada 21 Mei lalu, seramai 28,828 daripada 41,000 veteran ATM tidak berpencen di seluruh negara sudah menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) berjumlah RM300 sebulan, setakat 30 April lepas.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, kerajaan meningkatkan peruntukan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM daripada RM54 juta pada 2022 kepada RM118 juta pada 2023 dan RM244 juta pada tahun ini.