PETALING JAYA: Polis kini giat mengesan seorang suspek yang disyaki terlibat dalam kes jenayah curi kabel, susulan video kejar-mengejar tular di media sosial pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari mengesahkan kejadian berlaku sekitar pukul 3.45 pagi di Taman Rainbow, Sentul, sebelum berlarutan ke Jalan Kuching.
“Siasatan awal mendapati suspek cuba melarikan diri dengan memecut kenderaan.
“Bagaimanapun, dia bertindak meninggalkan kenderaan di lokasi kejadian selepas dikejar oleh pihak polis.
“Hasil pemeriksaan kenderaan tersebut menemui peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti mencuri kabel,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, semakan juga mendedahkan kenderaan itu didaftarkan atas nama sebuah syarikat penyewaan kenderaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa usaha untuk mengesan suspek sedang dijalankan.
Terdahulu, video berdurasi 27 saat yang memaparkan seorang lelaki keluar dari kenderaan sebelum dilanggar oleh sebuah MPV polis telah menjadi tular.
Walaupun dilanggar, suspek dilihat bangun dan melarikan diri, namun tetap dikejar oleh pihak polis.