Video seks tular: Jadi pendakwah bebas bukan lesen peralat agama – Menteri Agama

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Para pendakwah dan penceramah khususnya yang bergerak secara bebas tanpa sebarang pengiktirafan atau pemantauan institusi berautoriti diingatkan untuk sentiasa menjaga akhlak, integriti dan maruah diri selaras dengan ajaran Islam

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Na’im Mokhtar dalam satu kenyataan media hari ini menegaskan bahawa kedudukan sebagai pendakwah bukanlah lesen untuk memperalatkan agama demi kepentingan peribadi atau terlibat dalam perlakuan yang tidak bermoral dan bercanggah dengan undang-undang.

“Kepada para penceramah dan pendakwah, khususnya yang bergerak secara bebas tanpa pengiktirafan atau pemantauan institusi berautoriti, saya menyeru agar mematuhi etika dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri.

“Saringan terhadap latar belakang, akhlak dan kelayakan perlu diperkukuh agar dakwah yang disampaikan benar-benar membawa rahmat, bukan fitnah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengambil maklum serta memandang serius terhadap satu laporan media berhubung siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap seorang penceramah bebas yang didakwa terpalit dalam penyebaran video seks yang tular di media sosial pada baru-baru ini.

Kata beliau, isu tersebut bukan sahaja mencemarkan maruah individu yang terlibat malah turut mencalarkan imej institusi dakwah serta menggugat kepercayaan masyarakat terhadap para agamawan.

Susulan itu, beliau bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) telah menganjurkan program Felo Muda Dakwah (FMD) dan Akademi Daie Muda YADIM (ADMY) yang memfokuskan kepada usaha melahirkan pendakwah-pendakwah muda negara.

“Sehingga kini seramai 364 orang sudah menjalani latihan intensif untuk kedua program ini sejak ia dimulakan pada tahun 2014. Inilah antara usaha Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam melahirkan pendakwah yang mencerminkan ummah Madani,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut memetik firman Allah S.W.T dari Surah As-Saff ayat 2 hingga 3 yang membawa yang menjelaskan mengenai peningkaran manusia terhadap sesuatu janji atau menyatakan sesuatu, tetapi ia tidak memenuhinya.

“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya? Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya,” petiknya dari Surah As-Saff ayat 2.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru masyarakat agar tidak terburu-buru menjatuhkan hukuman secara umum.

“Tetapi memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh dan adil.

Pada masa yang sama, kita mesti menolak sekeras-kerasnya budaya aib-mengaibkan, lebih-lebih lagi dengan tujuan untuk meraih pengaruh atau perhatian.

Kerajaan Madani komited kini untuk memperkasakan ekosistem dakwah yang lebih tersusun, profesional dan berintegriti.

“Marilah kita semua, terutamanya para pendakwah, menjadi cerminan akhlak Rasulullah SAW dan sentiasa menjaga amanah dakwah ini dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat