Video Tular Dakwa Majlis Perkahwinan Diraja, Pejabat Sultan Perak Buat Laporan Polis

IPOH: Pejabat Sultan Perak telah membuat laporan polis berhubung penularan sebuah video di TikTok yang didakwa mengandungi maklumat palsu mengenai Istiadat Perkahwinan Diraja Perak yang kononnya akan berlangsung di Istana Iskandariah pada 7 Ogos ini.

Laporan tersebut dilakukan pada 31 Julai lalu oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja kepada Sultan Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik, yang menegaskan bahawa tiada Majlis Persandingan Diraja akan diadakan pada tarikh berkenaan.

“Pejabat Duli Yang Maha Mulia tidak mengenali pemilik akaun TikTok tersebut dan tidak pernah melantik mana-mana pihak atau individu sebagai jurucakap Istana Perak, termasuk bagi sebarang majlis perkahwinan diraja,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa akan ada siaran langsung Majlis Akad Nikah seperti yang disebut dalam video berdurasi 58 saat itu, yang mendakwa majlis akan berlangsung dari 7 hingga 17 Ogos, termasuk lawatan ke Tamparuli, Sabah.

“Kandungan yang dimuat naik di akaun TikTok itu adalah tidak benar dan berisiko menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” tambahnya.

Pejabat Sultan Perak menggesa orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu yang boleh mencetuskan salah faham serta menjejaskan imej institusi diraja.

Anda Mungkin Berminat