JITRA: Polis Daerah Kubang Pasu tampil menjelaskan rakaman video yang tular sejak 17 Februari yang memaparkan tindakan anggota polis ketika menjalankan operasi di Changloon, Kedah.
Menurut satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt. Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, kejadian tersebut sebenarnya berlaku pada 18 November 2023, ketika sepasukan anggota polis menahan dua suspek iaitu seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Thailand di sebuah rumah.
Menurutnya, pemeriksaan awal tidak menemui sebarang barang salah, namun hasil soal siasat membawa polis ke sebuah bilik sewa berdekatan yang dijadikan stor dadah.
“Dalam serbuan itu, polis menemui lebih empat kilogram heroin yang dibungkus menggunakan surat khabar bertulisan Cina dan peket bertanda ‘Refined Chinese Tea’.
“Turut dirampas ialah peralatan membungkus serta menimbang dadah,” katanya.
Susulan siasatan lanjut, beliau berkata, seorang lelaki Melayu dipercayai ketua sindiket ditahan sehari kemudian.
Polis mengesahkan bahawa suspek utama mempunyai rekod jenayah yang panjang termasuk tiga rekod jenayah dan 13 kes dadah, manakala seorang lagi lelaki mempunyai dua rekod kes dadah.
Tambah Mohd Radzi, wanita warga Thailand pula tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
Kesemua suspek telah dituduh di mahkamah pada 28 November 2023 di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman berat termasuk gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat berkaitan kejadian ini kerana ia boleh mengganggu siasatan.
“Orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.








