Video Tular: JBPM Siasat Anggota Bomba Bantuan Terlibat Kandungan Lucah

PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang menjalankan siasatan dalaman terhadap seorang anggota bomba bantuan susulan penularan video lucah yang dikaitkan dengannya di media sosial, baru-baru ini.

Walaupun individu dalam video tersebut tidak memakai seragam rasmi bomba, penyiasatan dimulakan selepas pihak JBPM mengesan beberapa hantaran lain di akaun media sosial milik individu itu yang memaparkan beliau mengenakan uniform pasukan.

Menurut Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad, siasatan dijalankan oleh Unit Integriti JBPM untuk mengenal pasti identiti sebenar individu terbabit dan punca penyebaran video itu.

“JBPM tidak berkompromi dalam isu integriti dan sentiasa memantau tingkah laku serta kandungan media sosial anggota walaupun tiada aduan rasmi diterima,” tegas beliau.

Antara fokus utama siasatan ialah sama ada video berkenaan dimuat naik secara sukarela oleh anggota tersebut atau disebarkan oleh pihak lain tanpa kebenaran.

Sekiranya penglibatan anggota bomba disahkan, tindakan penggantungan kerja boleh dilakukan serta-merta, memandangkan mereka berada di bawah skim bomba bantuan yang bukan berstatus perkhidmatan sepenuh masa.

Anda Mungkin Berminat