JOHOR BAHRU: Polis Johor mengesahkan menerima laporan daripada seorang wanita warga Vietnam berhubung dakwaan dicabul oleh seorang pemandu e-hailing di dalam kenderaan, susulan penularan video kejadian itu di media sosial sejak 2 Februari lalu.
Ketua Polis Johor, CP Datuk AB Rahaman Arshad berkata, laporan polis dibuat mangsa pada 4 Februari 2026 sebelum siasatan segera dijalankan.
“Bertindak atas maklumat diterima, polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 26 tahun di sekitar Johor Bahru pada hari yang sama bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Menurut beliau, polis turut merampas dua telefon bimbit serta sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza yang dipercayai digunakan semasa kejadian.
“Suspek kemudiannya dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 5 Februari lalu dan mahkamah membenarkan perintah reman selama tiga hari bermula 5 hingga 7 Februari 2026.
“Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan,” katanya lagi.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan segera menyalurkan maklumat berkaitan jenayah melalui talian Hotline Polis Johor di 019-279 2095 atau Bilik Gerakan di 07-221 2999.








