‘Vietnam punyai tempat istimewa dalam sejarah peribadi saya’ – Anwar

HANOI: Dalam satu kunjungan rasmi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, TYT To Lam.

Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar mengimbau kenangannya tentang pengaruh kepimpinan Ho Chi Minh semasa zaman mahasiswa beliau.

“Vietnam sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam sejarah peribadi saya.

“Hubungan sejarah antara Malaysia dan Vietnam cukup erat dan kini menjadi tanggungjawab generasi hari ini untuk memperkukuh hubungan kerjasama demi manfaat bersama,” katanya.

Kedua-dua pemimpin turut membincangkan peluang kerjasama dalam bidang digital, kecerdasan buatan (AI) dan sektor perikanan.

Anwar menyatakan rasa penghargaan terhadap pertumbuhan pesat ekonomi Vietnam yang dijadikan inspirasi bagi Malaysia.

“Kita boleh belajar daripada kejayaan Vietnam dalam meneroka teknologi baharu dan sektor tenaga yang mampan,” katanya.

Dalam pertemuan tersebut, penghargaan juga disampaikan oleh Anwar atas dukungan Vietnam terhadap kepimpinan Malaysia dalam ASEAN.

“Dukungan berterusan daripada Vietnam amat penting bagi memastikan ASEAN kekal kuat dan berjaya dalam mencapai matlamatnya,” tegas beliau.

Kedua-dua negara turut mencapai persetujuan dalam aspek perkongsian maklumat perisikan dan kerjasama ketenteraan yang merupakan suatu langkah penting dalam memastikan kestabilan dan keselamatan serantau.

Selain itu, beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN.

“Saya menghargai garapan Vietnam terhadap sejarah negara itu dan mendukung sepenuhnya akses mereka (Timor-Leste) ke dalam ASEAN,” ujarnya.

Mengakhiri pertemuan tersebut, Anwar menegaskan betapa pentingnya menghargai perjuangan wira-wira Dien Bien Phu dalam membentuk sejarah kenegaraan dan kejayaan Vietnam hari ini.

“Justeru, hubungan erat antara Malaysia dan Vietnam diyakini akan terus diperkukuh demi kemajuan dan kestabilan di rantau ini,” katanya.

Anda Mungkin Berminat