SRI GADING: Vokalis utama kumpulan popular era 90-an, Okay, iaitu Nazrin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Jereen, secara rasmi menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH), malam tadi.
Pengumuman penyertaan itu disempurnakan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Tahunan AMANAH Kawasan Sri Gading yang menyaksikan satu lagi figura seni tanah air menyatakan sokongan terhadap perjuangan politik.
“Alhamdulillah malam ini, sempena perasmian Mesyuarat Tahunan AMANAH Kawasan Sri Gading, saya menerima borang keahlian baharu daripada Nazrin Ahmad, vokalis utama kumpulan popular Okay, yang lebih dikenali dengan nama panggilan Jereen,” kata Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Untuk info, kumpulan Okay pernah mencipta fenomena melalui lagu balada ikonik “Ku Relakan Dikau Pergi” yang terus menambat hati peminat muzik tempatan hingga kini.
Turut hadir menyaksikan detik bersejarah itu ialah Pengerusi AMANAH Negeri Johor merangkap Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan dan Ketua AMANAH Kawasan Sri Gading, Mohd Salleh Samad.
Menurut Dr Mujahid, penyertaan tokoh seni seperti Jereen menjadi petunjuk penting kepada penerimaan meluas terhadap nilai-nilai yang diperjuangkan oleh AMANAH.
“Penyertaan saudara Jereen ke dalam keluarga besar AMANAH menggambarkan keyakinan golongan seni terhadap perjuangan nilai Rahmah, Keadilan dan Perpaduan yang dibawa oleh AMANAH.
“Selamat datang ke AMANAH, saudara Jereen!” katanya.