Wabak Ebola Di Afrika Jauh Lebih Buruk Daripada Laporan Rasmi – IRC

KINSHASHA: Wabak Ebola yang sedang merebak di Republik Demokratik Congo (DRC) ‘berkemungkinan jauh lebih buruk’ daripada angka rasmi yang diumumkan, menurut amaran International Rescue Committee (IRC) pada Isnin.

Memetik laporan ABC News, organisasi bantuan berpangkalan di New York itu berkata, usaha tindak balas kini berdepan kesukaran akibat kelewatan pengesanan serta tahap pengesanan kontak yang sangat rendah.

Ketika ini, terdapat lebih daripada 1,000 kes disyaki dan lebih 200 kematian disyaki di DRC, menurut Kementerian Kesihatan Congo.

Setakat ini, 282 kes dan 42 kematian telah disahkan.

IRC menyatakan bahawa Ebola mungkin telah merebak tanpa dikesan sejak sebelum bulan Mac, malah berkemungkinan selama tiga bulan sebelum wabak itu disahkan pada pertengahan Mei.

Penasihat Teknikal Kanan Kesihatan Kecemasan di IRC, Rachel Howard berkata, hanya sekitar 20 peratus kontak sedang dikesan, menyebabkan pihak berkuasa kesihatan bergelut untuk mengenal pasti dan mengasingkan rantaian jangkitan baharu.

Sekurang-kurangnya sembilan kes berkaitan perjalanan telah disahkan di Uganda termasuk satu kematian, menurut pegawai kesihatan negara itu.

IRC turut bimbang kes boleh merebak ke lebih banyak negara termasuk Burundi atau Sudan Selatan.

“Pasukan IRC memberi amaran bahawa kekurangan kartrij diagnostik dan kelewatan ujian sedang melambatkan pengesahan kes.

“Sekali gus menutup gambaran sebenar penyebaran wabak,” kata Howard dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya enam petugas kesihatan telah meninggal dunia, termasuk dua doktor dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Selain itu, orang ramai dilaporkan mengelak daripada mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan, menimbulkan kebimbangan bahawa mereka yang dijangkiti Ebola kekal dalam komuniti tanpa rawatan.

“Akibatnya, penularan merebak ke pelbagai kawasan dan komuniti mula hilang kepercayaan terhadap usaha tindak balas,” kata Howard.

“Mengukuhkan pencegahan dan kawalan jangkitan berasaskan komuniti harus menjadi keutamaan segera untuk mengawal wabak dari sumbernya.

“Tanpa pembiayaan segera, keadaan boleh merosot dengan pantas,” katanya.

Menurut Howard lagi, wabak semasa ini semakin menyerupai wabak Ebola di North Kivu pada 2018-2020.

Untuk info, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa wabak tersebut mencatat lebih daripada 3,400 kes dan 2,200 kematian.

Anda Mungkin Berminat