Wakil PM Ziarah Keluarga Allahyarham Yazid Zakaria

PETALING JAYA: Dalam suasana duka yang menyelubungi dunia seni tanah air, Pengarah Pembangunan Negeri Sembilan, Datuk Noor Ihsan Che Mat mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil menziarahi keluarga Allahyarham Mohd Yazid Zakaria, Konduktor Orkestra Tradisional Malaysia yang meninggal dunia sehari selepas mengetuai persembahan memukau pada Majlis Makan Malam Gala Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, baru-baru ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis, Anwar meluahkan rasa empati dan penghargaan mendalam terhadap Allahyarham, yang disifatkannya sebagai seniman tulen yang menjadikan muzik sebagai bahasa cinta kepada tanah air.

“Persembahan itu benar-benar lahir daripada sentuhan magis dan ketulusan jiwa seni beliau,” katanya.

Anwar turut berkongsi detik terakhir bersama Allahyarham selepas persembahan berkenaan, ketika beliau sempat bersalaman dan memeluk mendiang sambil mengucapkan tahniah atas persembahan yang menyentuh hati para tetamu dan pemimpin serantau.

Sebagai tanda penghormatan, Perdana Menteri telah mewakilkan Noor Ihsan Che Mat untuk menziarahi keluarga Allahyarham pada Khamis bagi menyampaikan salam takziah dan permohonan maaf kerana tidak dapat hadir sendiri serta menyerahkan sumbangan bagi pihak beliau.

Anwar turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan karya seninya terus hidup sebagai warisan bangsa yang menyatukan rakyat melalui bahasa muzik.

“Semoga karya dan semangat beliau terus menjadi inspirasi kepada generasi pemuzik mendatang,” katanya.

Anda Mungkin Berminat