KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengumumkan penetapan waktu bekerja setiap hari Jumaat sepanjang bulan Ramadan ini bagi penjawat awam negeri ini berakhir jam 12.30 tengah hari.
Baginda bertitah, Kerajaan Pahang melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bil. 6/2025 pada 5 Februari lalu bersetuju dan meluluskan cadangan itu.
“Keputusan dan kemudahan yang diberikan ini adalah untuk memberi peluang kepada penjawat-penjawat awam untuk memanfaatkan lebih masa bersama keluarga di bulan Ramadan di samping memuliakan hari Jumaat, penghulu segala hari,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang pada Jumaat.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan mencemar duli meyempurnakan Majlis Penutupan Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Kali Ke-68 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah malam tadi.
Pada majlis itu, baginda menitahkan masyarakat Islam mengambil peluang mendekatkan diri kepada al-Quran serta memperbanyakkan tilawah, tadabbur dan mengamalkan ajarannya di dalam kehidupan.
Titah baginda, Ramadan yang bakal tiba turut menjadi waktu dan medan terbaik untuk kembali kepada fitrah dan mengurangkan tumpuan kepada isi hal dunia.
Baca juga: