PUTRAJAYA: Belanjawan 2026 memperkenalkan penyusunan semula bantuan tunai kerajaan dengan menumpukan kepada keperluan asas rakyat.
Program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dikurangkan sebanyak RM300 bagi semua kategori isi rumah, namun jumlah itu diimbangi dengan peningkatan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM300, menjadikan nilai minimum SARA kini RM1,200 setahun.
Pendekatan baharu ini menunjukkan usaha kerajaan untuk memastikan bantuan digunakan terus bagi pembelian barangan keperluan asas, bukan sekadar bantuan tunai umum.
Bagi isi rumah miskin tegar di bawah e-Kasih, mereka turut menerima tambahan RM1,200 dalam bentuk kredit pembelian menjadikan jumlah keseluruhan RM2,400 setahun.

Menariknya, warga emas bujang kekal menikmati kadar STR RM600, sementara SARA mereka dinaikkan kepada RM600. Namun bagi bujang bawah 60 tahun, bantuan STR akan digantikan sepenuhnya dengan kredit Sara bernilai RM600 mulai 2026.
Langkah ini memperlihatkan anjakan dasar, daripada bantuan tunai bersifat segera kepada bantuan berfokus yang menstabilkan kos sara hidup jangka panjang.
Ia juga mencerminkan strategi Belanjawan MADANI untuk menyeimbangkan tanggungjawab fiskal kerajaan dengan keberkesanan bantuan kepada rakyat.
Semua inisiatif ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam pembentangan Belanjawan Rakyat 2026 di Parlimen pada Jumaat lalu.
Baca juga:








