PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh, mengakui kesilapan grafik Jalur Gemilang yang disiarkan Pemuda UMNO Terengganu dan mengambil sepenuh tanggungjawab atas perkara itu.
Dalam satu hantaran video di Facebook, Akmal berkata kesilapan tersebut berpunca daripada pasukannya sendiri dan beliau mahu tindakan tegas diambil terhadap individu yang terlibat.
“Saya dah sahkan kesilapan ini datang daripada orang yang buat poster itu. Kita bertanggungjawab dan saya menggesa laporan polis dibuat serta tindakan keras dikenakan,” katanya.
Beliau menegaskan, tindakan itu bukan sekadar permohonan maaf, sebaliknya untuk menunjukkan rasa hormat terhadap lambang negara tanpa mengira bangsa atau fahaman politik.
“Walaupun ini geng saya, salah tetap salah. Saya minta polis siasat dan kenakan tindakan keras kepada orang yang buat poster ini,” tegasnya.
Menurutnya, kesalahan menyiarkan Jalur Gemilang yang salah adalah perbuatan yang tidak boleh diterima walaupun dilakukan oleh rakan dalam parti.
Insiden ini berlaku ketika Akmal lantang mengkritik seorang pemilik kedai perkakasan di Pulau Pinang yang mengibarkan bendera negara secara terbalik.
Walau bagaimanapun, sayap pemuda parti yang dipimpinnya kini berdepan kecaman selepas melakukan kesilapan serupa melalui grafik media sosial.
Baca juga: