KUALA LUMPUR: Institusi kehakiman negara melakar sejarah baharu apabila Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan melantik tiga tokoh utama dalam badan kehakiman.
Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada Jumaat, pelantikan tersebut dibuat oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, selaras dengan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
“Pelantikan itu dibuat oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
“Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan dan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.
“Manakala, Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak,” kata kenyataan itu.
Untuk info, Ketua Hakim Negara yang baharu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebelum ini berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Rayuan, kini menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Hakim Negara.
Pelantikan beliau menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib pada 2 Julai lalu.
Dikenali dengan ketegasan dan integriti dalam penghakiman, beliau dijangka memperkukuh prinsip keadilan dan kebebasan badan kehakiman.
Bagi Presiden Mahkamah Rayuan Baharu, Datuk Abu Bakar Jais memiliki pengalaman luas dalam bidang kehakiman dan perundangan, dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.
Beliau menggantikan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang bersara pada 3 Julai.
Sepanjang kerjayanya, beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pendakwa Raya, Peguam Persekutuan dan rakan kongsi firma guaman serta terlibat dalam kes-kes berprofil tinggi termasuk rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Manakala, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak Baharu, Datuk Azizah Nawawi
Datuk Azizah Nawawi, yang sebelum ini berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Rayuan, kini dilantik sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak.
Pelantikan beliau dijangka memperkukuh struktur kehakiman di wilayah tersebut dengan penekanan terhadap akses keadilan dan kecekapan sistem perundangan.
Majlis Rasmi Pelantikan
Istiadat mengangkat sumpah jawatan dan penyerahan watikah pelantikan dijadual berlangsung pada 28 Julai 2025 di Istana Negara, di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.