PETALING JAYA: Ulang tahun ke-109 Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) disifatkan sebagai detik memperbaharui semangat dan iltizam dalam memperkukuh peranan wanita di tengah masyarakat, kata Yang Dipertua PPPM, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau berkata, kejayaan persatuan itu berdiri teguh sehingga kini adalah hasil asas kukuh yang dibina oleh pemimpin dan ahli terdahulu sejak lebih satu abad lalu.
“Kita bukan sekadar meraikan kejayaan lalu tetapi menghargai legasi utuh hasil jasa pemimpin dan ahli sebelum ini.
“Teruskan bekerja sebagai satu pasukan yang kuat dan teguh jati diri,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan di ibu negara.
Dr Wan Azizah turut menekankan bahawa wanita masa kini perlu melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi, di samping mengekalkan keseimbangan rohani dan jasmani agar dapat menyumbang lebih berkesan kepada masyarakat dan negara.
Majlis sambutan itu turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua PPPM, Datuk Tengku Shireen Almarhum Datuk Tengku Suleiman serta Ketua Pesuruhjaya PPPM, Datuk Yeoh Soo Keng.
Dalam ucapannya, beliau merakam penghargaan kepada seluruh ahli Pandu Puteri di seluruh negara atas komitmen dan pengorbanan mereka menjayakan pelbagai program serta inisiatif persatuan.
“Jutaan terima kasih kepada semua ahli yang telah menyumbang tenaga, masa dan fikiran. Usaha dan bakti anda amat dihargai,” katanya.
Ditubuhkan lebih 100 tahun lalu, PPPM membawa misi membentuk wanita berdisiplin, berkemahiran dan berdaya kepimpinan melalui latihan kepanduan serta kerja kesukarelawanan.
Kini, di bawah kepimpinan Dr Wan Azizah yang juga isteri Perdana Menteri, persatuan itu terus menjadi wadah penting dalam melahirkan generasi wanita yang berdaya saing dan berjiwa sukarelawan.








