PETALING JAYA: Dalam tindakan terdesak, seorang pengurus projek syarikat pembinaan bertaraf nasional sanggup membakar wang tunai hampir RM1 juta di dalam bilik mandi kediamannya bagi melupuskan bukti rasuah ketika diserbu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
SPRM dalam satu kenyataan berkata, wang tersebut terdiri daripada not RM100, ditemui hangus dan berasap ketika pegawai SPRM melaksanakan pemeriksaan dalam operasi mengejut berhubung siasatan projek pembinaan pusat data bernilai RM180 juta di Johor.
“Semasa pemeriksaan menyeluruh, kami menemui wang tunai kira-kira RM7.5 juta yang disimpan dalam beberapa kotak bantal, jam tangan mewah serta barang kemas,” kata SPRM.
Kata kenyataan itu lagi, antara barangan mewah yang dirampas termasuk jam tangan jenama Rolex, Omega dan Cartier serta cincin dan syiling emas yang dipercayai hasil pemberian berkaitan tender projek.
SPRM berkata, suspek bersama tiga individu lain termasuk isterinya dan dua pengarah syarikat pembinaan telah direman untuk membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17A Akta SPRM 2009, manakala tindakan membakar wang tersebut turut boleh didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan.








